Lawatan Akademik PPKI SMK Gudang Rasau ke PPDK UKM
Bangi, 7 November 2024 – Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima kunjungan akademik daripada 35 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Gudang Rasau, Kuantan bersama pelatih-pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) UKM.
Lawatan ini diketuai oleh Puan Hafsah Hamidon dan Puan Nur Hazwanie Azahari, dan bertujuan untuk memberikan pendedahan awal kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas tentang suasana pembelajaran luar bilik darjah serta membina kemahiran sosial mereka melalui aktiviti komuniti.
Sebagai sebahagian daripada pengisian lawatan, seramai 26 orang pelajar dari kursus GGGB3212 Rekreasi Dalam Komuniti, Program Pendidikan Khas UKM telah mengendalikan sesi Latihan Dalam Kumpulan yang berlangsung di perkarangan Gerak Minda, Fakulti Pendidikan. Aktiviti ini berfungsi sebagai platform interaktif yang menyeronokkan serta mendekatkan para pelajar UKM dengan komuniti istimewa.
Program ini dikendalikan oleh Dr. Mohd Syazwan Zainal selaku pensyarah kursus, dengan kerjasama Dr. Khairul Farhah Khairuddin yang bertindak sebagai penyelaras lawatan. Aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami realiti pengajaran dan pembelajaran murid berkeperluan khas melalui pengalaman langsung.
Komitmen terhadap Inklusiviti
Melalui kerjasama ini, Fakulti Pendidikan UKM terus komited dalam memperkukuhkan pendidikan inklusif dan memperluas jaringan bersama sekolah pendidikan khas. Diharapkan jalinan ini dapat diteruskan bagi memperkasakan lagi pendidikan untuk komuniti istimewa.
Fakulti Pendidikan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.




