Sesi Perkongsian Antarabangsa Pendidikan Khas 2024

Sesi Perkongsian Antarabangsa Pendidikan Khas bersama Universitas Negeri Padang, Indonesia

Bangi, 29 Julai 2024 – Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui kerjasama erat bersama Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK UKM) telah berjaya menganjurkan Sesi Perkongsian Antarabangsa Pendidikan Khas bersempena dengan lawatan akademik daripada Universitas Negeri Padang, Indonesia.

Rombongan yang terdiri daripada 40 orang wakil Universitas Negeri Padang ini diketuai oleh Dr. Rahmahtrisilvia, Koordinator Program Studi Magister (S2) Pendidikan Khusus, Fakultas Ilmu Pendidikan, Universitas Negeri Padang. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti di bawah jaringan strategik antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi.

Perkongsian Ilmu Rentas Sempadan

Bertemakan “Peneraju Inovasi Pendidikan Berkualiti”, sesi perkongsian ini memberi ruang kepada para pensyarah dan pelajar untuk bertukar pandangan, hasil penyelidikan, serta idea inovatif dalam bidang pendidikan khas. Antara barisan pensyarah yang terlibat termasuklah:

  • Prof. Madya Dr. Hasnah Toran – Pengerusi PPDK

  • Dr. Khairul Farhah Khairuddin – Penasihat Program

  • En. Mohd Syazwan Zainal – Ketua Juri bagi sesi pembentangan
  • Dr. Syar Meeze Mohd Rashid

  • Dr. Mohd Norazmi Nordin

Sesi pembentangan turut diadakan sebagai platform perkongsian penyelidikan oleh pelajar-pelajar kedua-dua universiti. Ia bukan sahaja memupuk semangat akademik, malah membuka ruang untuk kolaborasi berterusan dalam memperkasakan pendidikan khas di peringkat serantau dan global.

Menyemarakkan Jaringan Antarabangsa

Program ini menjadi titik tolak penting dalam mengukuhkan kerjasama UKM dan Universitas Negeri Padang dalam bidang pendidikan khas. Ia turut mencerminkan komitmen kedua-dua institusi untuk membina komuniti pendidikan inklusif yang progresif dan berdaya saing.

Tahniah diucapkan kepada semua pembentang serta setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak urus setia dan semua yang hadir atas kejayaan penganjuran program ini.